• Admin

Akid Terpantas Sesi Kelayakkan UB150


Pelumba pasukan UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team, Md Akid Aziz terus membuktikan kehebatannya pada aksi hari pertama Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM yang bermula di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.

Beraksi dalam keadaan cuaca yang agak berjerebu, ia tidak menghalang pelumba asal Kuala Lumpur itu untuk mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan kelas Underbone (UB) 150 dengan catatan masa sepusingan 2:32.165 saat (s).

Dia meninggalkan pencabar terdekatnya, Wawan Welo (SND Factory Racing Rapido) dari Indonesia dengan perbezaan masa 1.046s di belakang.

Rentak Akid hari ini memang luar biasa dan kesungguhannya untuk berada di hadapan sudah terbukti sejak mengharungi sesi latihan bebas pertama lagi.

Dia seolah-olah memberi amaran bahawa peluang beraksi di gelanggang sendiri akan dipergunakan sepenuhnya untuk memburu kemenangan.

Akid yang muncul juara Perlumbaan 2 di Zhuhai bulan lalu bermula agak perlahan pada sesi latihan bebas pertama apabila sekadar menduduki tempat ke- 25 dengan catatan masa 2:37.495s.

Begitupun, permulaan yang agak perlahan pada sesi pertama bukan halangan buatnya untuk kembali menyengat.

Dia terus tampil garang pada sesi latihan bebas kedua apabila melakukan catatan masa terpantas sepusingan 2:31.701s.

Kemampuan jentera Yamaha Y15ZR yang ditunggangnya dikerah ke tahap maksimum dan ia ternyata memberi kepuasan yang diimpikannya.

Esok dia kembali ke gelanggang untuk memburu kedudukan petak hadapan apabila membuat perhitungan dengan pelumba lain yang berada dalam kelompok 15 teratas dalam saingan Superpole.

Berdasarkan prestasi hari ini, ada beberapa pelumba yang bakal memberikan cabaran iaitu Peerapong Luiboonpeng (Team One For All) dari Thailand, Gupita Kresna (SND Factory Racing Rapido) dan juga Wawan Welo.

Tiga pelumba ini turut menampilkan kehebatan masing-masing pada sesi hari pertama khususnya Luiboonpeng dari Thailand yang muncul terpantas pada sesi latihan bebas pertama hari ini.

Andai Akid mampu mengekalkan rentak cemerlang seperti yang dipamerkannya hari ini, mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa misinya untuk menguasai saingan Superpole esok adalah mudah.

“Alhamdullilah keadaan jentera sangat baik pada sesi hari ini dan berharap ia akan terus stabil untuk mengharungi perlumbaan esok.

“Hari ini semuanya lancar walaupun berdepan saingan sengit daripada pelumba lain. Saya akan bekerja keras untuk mengekalkan kecemerlangan ini.

“Sasaran saya untuk perlumbaan esok adalah untuk muncul juara,” jelas Akid.

Sementara itu, pelumba Thailand kembali mempamerkan kebangkitan pada sesi latihan bebas kelas AP250 hari ini.

Muklada Sarapuech (A.P Honda Racing Thailand) yang kurang menyengat dalam dua pusingan terakhir mula mendapat keyakinan semula apabila mencatat masa terpantas dalam sesi latihan bebas pertama dan ketiga manakala rakannya, Piyawat Patoomyos terpantas dalam sesi kedua.

Pada sesi pertama, Muklada melakukan catatan masa terpantas sepusngan 2:25.959s manakala pada sesi ketiga dia melakukan 2:26.290s.

Piyawat pula terpantas pada sesi kedua dengan catatan masa 2:25.808s.

Dua pelumba pasukan Idemitsu Boon Siew Honda, Muhammad Syarifuddin Azman dan Idlan Haziq Zamri sekadar berada di kedudukan ke-21 dan 24 pada sesi latihan bebas ketiga.

Begitupun, pencapain mereka wajar dipuji kerana ini merupakan penampilan sulung mereka dalam kelas AP250 dengan pasukan yang baru dilancarkan semalam.

Perlumbaan 1 bagi kelas UB150 dan AP250 dijadualkan berlangsung pada sebelah petang esok.

Untitled design (23).png

Breaking News:

Malaysia Antara Senarai Kalendar MotoGP 2021

Breaking News : 

Breaking News:

Logo w Text Official_edited.png

News & Opinion Blog

IKUTI MEDIA KAMI: 

JADI PEMBACA YANG TERAWAL 

Terima artikel kami secara percuma dan kami akan sediakan bahan terbaru bagi bacaan anda.  

  • TikTok
  • Instagram
  • White Facebook Icon

Membawakan isu terkini kejohanan Malaysian Cub Prix, Asia Road Racing, CEV Repsol, MotoGP & FIM Supermoto secara eksklusif kepada peminat sukan permotoran dunia. Ikuti kami disemua platform media sosial. 

Penggunaan web ini tertakluk di bawah Terma & Syarat dan Polisi Kerahsiaan kami. Hakcipta Tarmac Sports 2020. Sebarang kandungan tanpa notis keizinan adalah dilarang sama sekali.

Hak Cipta © Tarmac Sports . 2020