- Admin
Dominasi Pelumba Negara Dalam SS600 Amat Jelas Di Litar Sepang
Pelumba Malaysia berada dalam kelas tersendiri bagi kategori SS600cc apabila merampas tiga kedudukan teratas dalam Perlumbaan 2 pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2020 yang berakhir di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.

Perlumbaan 2 menjadi giliran pelumba pasukan PACHI ZK Racing, Adam Norrodin untuk bergelar juara selepas dia gagal pada Perlumbaan 1 semalam akibat terjatuh di lap keenam.
Adam yang melangkah ke gelanggang dengan penuh keyakinan tampil dengan aksi lebih bertenaga untuk memenangi Perlumbaan 2 itu dengan catatan masa 17:36.715 saat (s).
Dia hampir menguasai dua kedudukan teratas bersama adiknya, Ibrahim Norrodin, namun tidak
kesampaian kerana Ibrahim terjatuh ketika perlumbaan berbaki satu pusingan lagi untuk ditamatkan.
Situasi tersebut telah membuka ruang kepada juara Perlumbaan 1, Azroy Hakeem Anuar (Boon Siew Honda Racing Team) untuk meraih tempat kedua dengan masa 17:37.563s manakala Helmi Azman (Boon Siew Honda Racing Team) di tempat ketiga dengan masa 17:38.151s.
Adam ketika ditemui menjelaskan bahawa hari ini dia tetap tampil dengan penuh keyakinan meskipun berdepan detik kecewa pada Perlumbaan 1 semalam.
Menurutnya, dia menghadapi perlumbaan tersebut seperti biasa namun tetap berhati-hati agar ia berjalan seperti yang diimpikannya.
“Saya memang berasa sangat kecewa selepas terjatuh pada Perlumbaan 1 semalam, namun ia tidak menjejaskan fokus saya untuk tampil lebih baik hari ini.
“Saya tetap memiliki semangat tinggi untuk menamatkan perlumbaan ini dengan penyudah podium.
Alhamdulillah, saya berjaya melaksanakannya dengan baik. Terima kasih kepada seluruh krew pasukan yang sentiasa memberi semangat kepada saya sepanjang minggu ini,” jelas Adam.
Adam juga menjelaskan bahawa fokus utamanya adalah untuk memburu tempat terbaik di ARRC dan dia perlu konsisten meraih mata dalam setiap perlumbaan.
“Saingan untuk musim ini masih panjang dan saya perlu sentiasa bersedia,” jelas Adam.
Selepas berakhirnya aksi Pusingan 1 ARRC 2020 hari ini, Azroy kini mendahului kedudukan keseluruhan kategori pelumba dengan mengumpul 45 mata manakala Adam di kedudukan kedua dengan 34 mata diikuti Helmi (29).
Sementara itu, Perlumbaan 2 kelas ASB1000cc menjadi agenda penutup gelanggang hari ini. Pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman (ONEXOX BMW TKKR SAG Team) yang juga juara bertahan, terus berdepan nasib malang apabila gagal menamatkan perlumbaan akibat terjatuh.

Semalam, dalam Perlumbaan 1, Azlan sekadar menghuni tempat ketujuh. Perlumbaan hari ini dimenangi rakan sepasukannya asal Jerman, Markus Reiterberger yang merekodkan masa terpantas 25:29.725s.
Ia pencapaian paling manis buat pelumba Jerman itu yang membuat penampilan pertama di ARRC. Tempat kedua dan ketiga perlumbaan tersebut masing-masing menjadi milik Apiwath Wongthananon (Yamaha Thailand Racing Team) dan Broc Parkes (Yamaha Racing Team ASEAN).
Kedudukan keseluruhan pelumba pula dipegang Apiwath yang mengumpul 40 mata. Markus berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan meraih 38 mata diikuti tempat ketiga, Yuki Ito dengan 35 mata.
Keputusan Perlumbaan 2 (5 teratas)
ASB1000cc
Markus Reiterberger (GER) ONEXOX BMW TKKR SAG Team – 25:29.725s
Apiwath Wongthananon (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 25:37.139s
Broc Parkes (AUS) Yamaha Racing Team ASEAN – 25:39.078s
Lorenzo Zanetti (ITA) Access Plus Racing-Okada Team – 25:39.163s
Thitipong Warokorn (THA) Kawasaki Thailand Racing Team – 25:39.956s
Kedudukan keseluruhan (Pelumba)
Apiwath Wongthananon (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 40 mata
Markus Reiterberger (GER) ONEXOX BMW TKKR SAG Team - 38
Yuki Ito (JPN) Yamaha Racing Team ASEAN) - 35
Lorenzo Zanetti (ITA) Access Plus Racing-Okada Team - 24
Thitipong Warokorn (THA) Kawasaki Thailand Racing Team – 18
Kedudukan Pasukan
Yamaha Thailand Racing Team – 56 mata
ONEXOX BMW TKKR SAG Team – 54
Yamaha Racing Team ASEAN – 51
Kawasaki Thailand Racing Team – 33
Victor Racing Team – 32
Keputusan Perlumbaan 2 SS600cc
Md Adam Norrodin (MAS) PACHI ZK Racing – 17:36.715s
Azroy Hakeem Anuar (MAS) Boon Siew Honda Racing Team – 17:37.563s
Md Helmi Azman (MAS) Boon Siew Honda Racing Team – 17:38.151s
Ratthapong Wilairot (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 17:42.566s
Md Ramdan Rosli (MAS) ONEXOX TKKR SAG Team – 17:42.986s
Kedudukan Keseluruhan (Pelumba)
Azroy Hakeem Anuar (MAS) Boon Siew Honda Racing – 45 mata
Md Adam Norrodin (MAS) PACHI ZK Racing - 34
Md Helmi Azman (MAS) Boon Siew Honda Racing Team – 29
Soichiro Minamimoto (JPN) Akeno Speed Yamaha Racing – 21
Ahmad Afif Amran (MAS) Yamaha GEN BLU Racing Team – 20
Kedudukan Pasukan
Boon Siew Honda Racing – 74 mata
PACHI ZK Racing – 50
Yamaha GEN BLU Racing Team – 37
Akeno Speed Yamaha Racing – 31
Victor Racing Team – 21