• Admin

Farm Fresh Dan Penubuhan Pasukan Boss Susu Motorsports - Dari Ladang ke Litar Lumba

Selepas menjadi penaja bagi program realiti hiburan milik syarikat penyiaran swasta negara, kini The Holstein Milk Company Sdn. Bhd mula menapak dalam sukan permotoran negara yang dikenali sebagai pasukan Boss Susu Motorsports dalam kelas WIRA KBS persendirian.


Ikuti kupasan kami bersama pasukan baru ini.



Semuanya bermula apabila bapa kepada dua pelumba berbakat negara, Rosmaza Ramli yang juga sahabat baik Boss Susu, Azmi Zainal mengenali antara satu sama lain sejak kecil bergelut dengan penajaan setelah penaja menarik diri ketika kejohanan 2020 hampir bermula. Semangat setiakawan dan persahabatan lama membuahkan dimensi baru melalui sukan permotoran.



Perkara penajaan menjadi perkara penting dalam sukan permotoran kerana sememangnya ia melibatkan kos yang besar. Bagi membentuk pasukan yang mantap dan mampu bersaing dihadapan, pasukan memerlukan sekitar RM400ribu sehingga RM500ribu bagi menampung keperluan dua pelumba (dua jentera) bagi 10 pusingan Malaysian Cub Prix yang bertanding secara persendirian.

Ia termasuklah kos pengubahsuaian, penyediaan jentera, logistik, alat ganti, bayaran krew mekanik, enjin, tayar dan yuran penyertaan yang sedikit menelan belanja berbanding kategori CP125 atau pun CP150 yang banyak mendapat sokongan pengeluar motosikal.

Berbekalkan rekod baik yang ditunjukkan oleh dua pelumba ini pada musim lepas apabila Harith Rosmaza muncul Juara Yamaha PETRONAS Super Series 2019 dengan 174 mata. Manakala Haziq Rosmaza meraih gelaran Juara Yamaha PETRONAS Super Series 2018 dengan 191 mata. Haziq juga mendapat tempat ke-4 keseluruhan dengan 107, berbeza 38 mata dengan juara keseluruhan Kategori WIRA 2019 bersama dengan pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing.

The Holstein Milk Company melalui jenama susu terkenal Farm Fresh tampil membantu bagi memberi peluang dua pelumba yang meningkat naik untuk terus berlumba dalam kejohanan yang telah lama bertapak bagi mencungkil bakat muda dan pelapis pelumba motosikal terbaik negara sebelum melangkah lebih jauh ke peringkat Asia dan Dunia.

Farm Fresh kini selangkah dihadapan apabila muncul buat kali pertama dalam pusingan pertama Kejohanan PETRONAS Malaysian Cub Prix (Cub Prix) dalam kategori WIRA yang diadakan di Litar Sepang pada 17-18 Julai lalu selaku pasukan persendirian walaupun kejohanan 2020 terpaksa bermula lewat akibat ancaman wabak yang melanda.

Bersaing dengan pasukan terkenal yang mempunyai pengalaman dan data perlumbaan yang cukup sememangnya menjadi cabaran apabila mereka perlu bermula dari bawah menyediakan jentera, membawa masuk mekanik berpengalaman bagi menjadikan saingan lebih kompetitif berbekalkan kemampuan pelumba yang mampu meraih podium.

Setelah hampir sedekad selepas penubuhannya, Farm Fresh kini menghasilkan susu segar yang paling mendapat sambutan di Malaysia, manakala produk yogurt dan minuman yogurtnya juga menjadi kegemaran ramai kerana rasanya yang lazat berkrim dan dihasilkan oleh jenama tempatan. Paling fenomena adalah susu berperisa kurma yang menerima permintaan tinggi pada bulan Ramadhan.

Ketika ditanya oleh wakil media Tarmac Sports kenapa dan bagaimana terfikir untuk memasuki arena permotoran, ini perkongsian Azmi Zainal selaku pemilik pasukan.


“Pada mulanya memang tak terlintas langsung untuk masuk ke dalam bidang ini. Apabila saya dihubungi oleh sahabat rapat yang kenal sejak kecil Rosmaza Ramli, saya fikir kenapa tidak. Saya kenal sahabat saya ini sudah lama. Kenapa tidak saya membantu dia.

“Saya lihat dua pelumba ini mempunyai bakat yang besar, mereka juga selalu menaiki podium. Wajar untuk saya beri peluang kepada mereka untuk terus berlumba kerana amat rugi jika bakat dan semangat mereka terkubur begitu saja.

“Dimana-mana pun saya selalu tekankan konsep kongsi rezeki. Dengan memasuki bidang ini, saya boleh berkongsi rezeki dengan semua yang terlibat. Buat masa ini kami akan lihat dahulu bagaimana perjalanan kejohanan ini untuk tahun ini dan akan mempertimbangkan segala kemungkinan bagi musim 2021.”

“Pasukan ini diberi nama Boss Susu Motorsports dan dikuasakan oleh produk baharu Café Latte Tongkat Ali, minuman tenaga pertama tanpa gula yang akan dilancarkan pada September ini. Disitu, saya lihat produk ini signifikan kepada sukan permotoran.”

Farm Fresh kini bakal tampil dengan produk susu baru iaitu Café Latte Tongkat Ali, minuman tenaga pertama tanpa gula. Azmi Zainal kini menjadi salah seorang pemilik pasukan yang beraksi dalam sektor sukan permotoran dan perkara ini tidak pernah diimpikan sebelum ini bagaimana mampu mengembangkan ke sektor sukan ini.

Harith Rosmaza yang merupakan adik kepada Haziq Rosmaza bukanlah nama baru dalam sukan permotoran apabila telah bermula dari kecil dan ini pencapaian sehingga 2019.



No.3 SIC Bikeathon umur 5-7 tahun 2012. Juara Fomula KBS bersama team NS 2012, 2013 dan 2014. Tempat ke-2 endurance 1jam Poket Bike Sijangkang 2015. No.2 pusingan 1 Endurance 2 jam Kategori 120cc Elite. No.3 Overall 3 Jam Endurance Kategori 120cc SIC 2017. No.5 Overall NVX Challenge MCP 2017. No.7 Overall Honda Wave Challenge MCP 2018. Juara Overall Yamaha Superseries MCP 2019.

Beliau juga turut berterima kasih kepada pemilik pasukan ketika bertemu pada 19 Julai lalu.

“Saya berterima kasih kepada bos Susu yang sudi hadir menaja pasukan dan memberi peluang kepada kami untuk terus berlumba pada tahun ini. Pastinya saya akan cuba lakukan yang terbaik bagi musim ini.”

Azmi Zainal yang juga hadir pada pusingan pertama turut melahirkan rasa teruja dengan penganjuran Malaysian Cub Prix yang diadakan begitu tersusun dan patuh kepada SOP yang ditetapkan walaupun pasca Covid-19. Kejohanan Malaysian Cub Prix mendapat tontonan 20 ribu sehingga 30 ribu setiap pusingan dan secara keseluruhan sebanyak 250 ribu hingga 300 ribu penonton bagi 10 pusingan penuh setahun.


Contoh dan sikap Azmi Zainal wajar dijadikan contoh syarikat besar diluar sana untuk berani dan mengambil peluang dengan memasuki arena sukan permotoran nasional sekaligus menyemarakkan sektor sukan ini meskipun hanya terkenal sebagai pengeluar susu tempatan negara.


Majulah sukan permotoran negara.




464 lihatan0 komen
Untitled design (23).png

Breaking News:

Malaysia Disenarai Dalam Kalendar MotoGP 2021

Breaking News : 

Breaking News:

Logo w Text Official_edited.png

News & Opinion Blog

IKUTI MEDIA KAMI: 

JADI PEMBACA YANG TERAWAL 

Terima artikel kami secara percuma dan kami akan sediakan bahan terbaru bagi bacaan anda.  

  • TikTok
  • Instagram
  • White Facebook Icon

Membawakan isu terkini kejohanan Malaysian Cub Prix, Asia Road Racing, CEV Repsol, MotoGP & FIM Supermoto secara eksklusif kepada peminat sukan permotoran dunia. Ikuti kami disemua platform media sosial. 

Penggunaan web ini tertakluk di bawah Terma & Syarat dan Polisi Kerahsiaan kami. Hakcipta Tarmac Sports 2020. Sebarang kandungan tanpa notis keizinan adalah dilarang sama sekali.

Hak Cipta © Tarmac Sports . 2020