• Admin

Helmi Azman Bukti Kemampuan Bertahan Dalam Cuaca Hujan

“Perlumbaan hari ini tidak semudah yang dijangkakan. Ia berlangsung sengit sejak daripada permulaan, namun saya bersyukur kerana berjaya mengawal keadaan dengan baik serta lebih berhati-hati terutama selepas hujan turun ketika saingan memasuki lap keenam.


“Prestasi jentera juga telah memberi kepuasan kepada saya dan terima kasih kepada pasukan yang bertungkus-lumus menyediakan ‘setting’ terbaik terhadap jentera Honda saya untuk menempuhi perlumbaan hebat ini.”



Demikian jelas pelumba pasukan Hi Rev SCK Honda Racing, Md Helmi Azman sebaik dinobatkan sebagai juara perlumbaan akhir kelas CP150 pada Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 di Litar Sepang (utara) petang ini.

Pada perlumbaan tersebut, Helmi menamatkan saingan dengan catatan masa 15:34.837 saat (s), sekali gus meraih 20 mata kejuaraan setakat ini.


Helmi yang turut tampil hebat pada sesi kelayakan semalam, meneruskan rentak cemerlang pada perlumbaan akhir hari ini dan sebaik perlumbaan bermula, dia tidak membiarkan pelumba lain untuk berada di hadapannya.


Sejak lap pertama, dia pantas menempatkan kedudukannnya dalam kelompok hadapan meskipun telah beberapa kali cuba dipintas oleh pencabar terdekatnya, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Idemtisu Honda Yuzy Racing.



Azroy antara pelumba yang diramal mampu menguasai aksi akhir hari ini, selepas muncul terpantas pada sesi kelayakan semalam.


Namun, nasib ternyata tidak menyebelahi Azroy kerana dia turut terlibat dalam kemalangan membabitkan enam pelumba di lap keenam, namun dia pantas bangkit meneruskan saingan untuk menamatkan perlumbaan akhir itu di tempat ketiga dengan masa 15:54.446s.


Tempat kedua menjadi milik pelumba pasukan AHM Motorsports, Md Khairul Ikhwan Ajis dengan masa 15:51.278s bagi membolehkannya meraih 16 mata kejuaraan.


Sementara itu, barisan pelumba pasukan ONEXOX telah menguasai saingan bagi perlumbaan akhir kelas CP125.

Md Syafieq Aiman Md Fauzi (ONEXOX SAG Team) mencuri tumpuan apabila muncul juara dengan catatan masa 11:21.868s manakala Md Shafiq Rasol (ONEXOX TKKR SAG Team) berada di tempat kedua dengan masa 11:21.875s.


Seorang lagi rakan mereka, Md Hafiza Rofa menamatkan perlumbaan 8 lap itu di tempat ketiga dengan catatan masa 11:21.913s.



Bagi kategori Wira pula, Rahimi Nabil Razu melakukan kejutan apabila menjuarai perlumbaan tujuh lap itu.


Meskipun mendapat tentangan sengit daripada pencabarnya terutama pada lap terakhir, namun ia tidak menggugat peluang pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing itu untuk bergelar juara apabila terlebih dahulu mencecah garisan penamat dengan catatan masa 10:16.015s.


Ia dilihat sebagai permulaan baik buat pasukan tersebut musim ini selepas berjaya melahirkan juara keseluruhan kelas Wira pada musim lalu menerusi Aliff Danial yang kini naik pangkat ke kelas CP125 bersama pasukan baharu, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.



Tempat kedua perlumbaan akhir kelas Wira itu hari ini diraih pelumba pasukan ONEXOX SAG Team, Md Izzat Md Raduan dengan merekodkan masa 10:16.016s manakala di tempat ketiga menjadi milik Md Harith Haziq Zamri (Castrol Power1 Racing Team) dengan masa 10:16.058s.


Sebaik berakhirnya saingan hari ini, Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS akan berehat seketika sebelum meneruskan aksi Pusingan 2 yang dijadualkan berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor pada 22-23 Ogos depan.

Untitled design (23).png

Breaking News:

Malaysia Antara Senarai Kalendar MotoGP 2021

Breaking News : 

Breaking News:

Logo w Text Official_edited.png

News & Opinion Blog

IKUTI MEDIA KAMI: 

JADI PEMBACA YANG TERAWAL 

Terima artikel kami secara percuma dan kami akan sediakan bahan terbaru bagi bacaan anda.  

  • TikTok
  • Instagram
  • White Facebook Icon

Membawakan isu terkini kejohanan Malaysian Cub Prix, Asia Road Racing, CEV Repsol, MotoGP & FIM Supermoto secara eksklusif kepada peminat sukan permotoran dunia. Ikuti kami disemua platform media sosial. 

Penggunaan web ini tertakluk di bawah Terma & Syarat dan Polisi Kerahsiaan kami. Hakcipta Tarmac Sports 2020. Sebarang kandungan tanpa notis keizinan adalah dilarang sama sekali.

Hak Cipta © Tarmac Sports . 2020