- Admin
Idlan Hakimi Terima Keputusan Dengan Air Mata Gembira
Hari ini menjadi detik cemerlang buat pelumba pasukan Boon Siew Honda Racing
Team, Idlan Haqimi Raduan pada aksi pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2020
yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.

Pelumba yang menggunakan jentera Honda CBR250 RR itu memahat nama sebagai juara pada
Perlumbaan 1 kelas AP250cc meskipun berdepan tentangan sengit daripada pelumba Jepun, Aiki
Iyoshi (Motul Manual Tech Racing Team).
Idlan terpaksa menunggu beberapa saat sebelum meraikan kejayaannya itu bersama krew pasukan
kerana kedudukannya dengan Iyoshi hampir sama ketika mencecah garisan penamat.
Begitupun, kelebihan memihak kepada Idlan selepas catatannya 19:40.866 saat (s) mengesahkannya
sebagai juara mutlak pada Perlumbaan 1 itu.

Iyoshi yang ketinggalan satu saat di belakang terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala rakan
sepasukan Idlan, Muhammad Izam Ikmal di tempat ketiga dengan merekodkan masa 19:41.214s.
Kejayaan tersebut merupakan yang terbaik pernah dicatat oleh pasukan Boon Siew Honda Racing
yang mula dilancarkan pertengahan musim lalu.
Menurut Idlan, dia sangat bersyukur kerana segala kerja kerasnya selama ini telah membuahkan
hasil yang sangat membanggakan.
“Kejayaan ini sukar dilupakannya kerana ia dicatat di pentas Asia dan semua pelumba
mengidamkannya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya yang telah bertungkus lumus menyediakan
jentera terbaik buat saya sepanjang minggu ini.
“Kemenangan ini akan mencetuskan semangat saya untuk terus bekerja keras dalam misi memburu
lebih banyak kejayaan selepas ini. Ini adalah permulaan,” jelas Idlan.
Terdahulu, pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, Wahyu Aji Trilaksana dari Indonesia
menepati ramalan apabila menjuarai Perlumbaan 1 kelas UB150cc.
Wahyu yang menguasai sesi latihan bebas semalam, meneruskan rentak cemerlangnya pada
perlumbaan sebenar hari ini dan dia tampil terpantas dengan catatan masa 15:36.063s untuk
bergelar juara.
Meskipun berada dalam kelompok belakang di awal perlumbaan, namun dia kekal konsisten untuk
mengikut rentak yang dipamerkan oleh para pencabarnya.
Pendahulu perlumbaan saling bersilih ganti sepanjang saingan tersebut sehinggalah pada dua lap
terakhir menyaksikan Wahyu mula melancarkan asakan.
Dia mempergunakan sepenuhnya kelebihan yang ada pada jentera Yamaha Y15 ZR tunggangannya
untuk menjarakkan diri di hadapan pelumba lain.
Starteginya berhasil meskipun pada lap terakhir, Ahmad Fazrul Sham (Cardinals Racing Team) cuba
memintas, namun menemui kegagalan.
Fazrul akhirnya berpuas hati untuk menghuni tempat kedua dengan masa 15:36.108s manakala
pelumba pasukan Team One For All dari Thailand, Peerapong Luiboonpeng di tempat ketiga dengan
catatan masa 15:36.138s.
Esok mereka akan sekali lagi mengerah tenaga untuk membuat perhitungan dalam Perlumbaan 2.
Keputusan (5 teratas)
Perlumbaan 1 (UB150)
Wahyu Aji Trilaksana (INA) ONEXOX TKKR SAG Team – 15:36.063s
Ahmad Fazrul Sham (MAS) Cardinals Racing Team – 15:36.108s
Peerapong Luiboonpeng (THA) Team One For All – 15:36.138s
Md Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team – 15:36.270s
Wawan Wello (INA) SND Factory Racing Rapido – 15:36.370s
Perlumbaan 1 AP250cc
Md Idlan Haqimi Raduan (MAS) Boon Siew Honda Racing Team – 19:40.866s
Aiki Iyoshi (JPN) Motul Manual Tech Racing Team – 19:40.867s
Muhammad Izam Ikmal (MAS) Boon Siew Honda Racing Team – 19:41.214s
Wahyu Nugroho (INA) Yamaha Racing Indonesia – 19:53.450s
Shahrol Syazras Yuzy (MAS) Yuzy Honda Racing – 19:53.506s