• Admin

'Law of Attraction' Akid Berjaya Bawanya Ke Podium



Rentak tunggangan Md Akid Aziz memang luar biasa sejak latihan bebas dan pusingan kelayakkan lagi.


Pelumba pasukan UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team itu terlalu pantas, bermula dengan sesi latihan bebas, kelayakan, superpole diikuti Perlumbaan 1 kelas Underbone (UB) 150 pada Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.


Dalam perlumbaan 1, dia terus membuktikan kehebatannya apabila muncul juara Perlumbaan 1 kelas UB 150 dengan catatan masa 15:43.137 saat (s).


Ia kemenangan ketiga buat pelumba asal Kuala Lumpur itu musim ini selepas melakukannya pada Pusingan 3 di Buriram dan Pusingan 5 di Zhuhai, China sebelum ini.


Kemenangan tersebut membolehkan Akid mengambil alih kedudukan keseluruhan buat sementara waktu dengan memungut 116 mata.


Pendahulu sebelum ini, McKinley Kayle Paz (UMA Racing Yamaha Philippine Team) berada di kedudukan kedua dengan 105 mata selepas sekadar menamatkan perlumbaan hari ini di kedudukan keenam.


Rentak Akid pada perlumbaan tersebut memang menakjubkan. Dia memilih untuk mengharunginya secara selamat walaupun pada pertengahan perlumbaan dia dilihat berada di kedudukan kelapan.


Akid mula melakukan serangan pada tiga lap terakhir dan detik paling mendebarkan adalah kira-kira 50 meter daripada garisan penamat yang menyaksikan Akid berjaya memintas pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, Wahyu Aji Trilaksana untuk bergelar juara.


“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik pada perlumbaan hari ini. Jentera juga stabil dan ia banyak membantu kejayaan saya pada perlumbaan ini.


“Saya memang menaruh harapan untuk menang lebih-lebih lagi saingan kali ini berlangsung di gelanggang sendiri. Ia kemenangan yang sangat berharga buat saya dan pasukan. Terima kasih kepada semua krew pasukan,” jelas Akid yang turut mengintai untuk menjejak podium pada Perlumbaan 2 esok.


Tempat kedua perlumbaan hari ini menjadi milik Wahyu dengan catatan masa 15:43.254s manakala pelumba Cardinals Racing Team, Rozaiman Md Said di tempat ketiga dengan masa 15:43.678s.


Ia merupakan podium pertama buat Rozaiman musim ini dan catatan terbaik yang pernah dia lakukan adalah menduduki tempat keenam pada saingan Pusingan 4 di Suzuka, Jepun.



Sementara itu, saingan bagi kelas AP250 terus dikuasai pelumba Indonesia dan Thailand. Irfan Ardiansyah dari pasukan Astra Honda Racing Team menepati ramalan bergelar juara dengan catatan masa 19:45.110s.


Pelumba Thailand, Muklada Sarapuech (A.P Honda Racing Thailand) kembali menyengat apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa 19:45.351s.


Tempat ketiga diraih seorang lagi pelumba Indonesia, Awhin Sanjaya (Astra Honda Racing Team) dengan masa 19:45.374s.


Pelumba Malaysia terbaik pada perlumbaan tersebut adalah Muhammad Syarifuddin Azman (Idemitsu Boon Siew Honda Racing) yang menghuni tangga ke-12.


Esok mereka akan mengharungi Perlumbaan 2 yang sudah pastinya menjanjikan saingan lebih sengit.


Keputusan (5 teratas)


Perlumbaan 1


(Underbone 150)

Md Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team – 15:43.137s

Wahyu Aji Trilaksana (INA) ONEXOX TKKR SAG Team – 15:43.254s

Rozaiman Md Said (MAS) Cardinals Racing Team – 15:43.678s

Md Haziq Md Fairues (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team – 15:43.706s

Md Amirul Ariff Musa (MAS) Yuzy Honda Racing – 15:44.140s


(AP250)

Irfan Ardiansyah (INA) Astra Honda Racing Team – 19:45.110s

Muklada Sarapuech (THA) A.P Honda Racing Thailand – 19:45.351s

Rafid Topan Sucipto (INA) Bike Corner SYS KYT Racing Team – 19:45.450s

Awhin Sanjaya (INA) Astra Honda Racing Team – 19:45.374s

Andy Muhammad Fadly (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing – 19:45.450s

Untitled design (23).png

Breaking News:

Malaysia Antara Senarai Kalendar MotoGP 2021

Breaking News : 

Breaking News:

Logo w Text Official_edited.png

News & Opinion Blog

IKUTI MEDIA KAMI: 

JADI PEMBACA YANG TERAWAL 

Terima artikel kami secara percuma dan kami akan sediakan bahan terbaru bagi bacaan anda.  

  • TikTok
  • Instagram
  • White Facebook Icon

Membawakan isu terkini kejohanan Malaysian Cub Prix, Asia Road Racing, CEV Repsol, MotoGP & FIM Supermoto secara eksklusif kepada peminat sukan permotoran dunia. Ikuti kami disemua platform media sosial. 

Penggunaan web ini tertakluk di bawah Terma & Syarat dan Polisi Kerahsiaan kami. Hakcipta Tarmac Sports 2020. Sebarang kandungan tanpa notis keizinan adalah dilarang sama sekali.

Hak Cipta © Tarmac Sports . 2020