• Admin

Malaysia Cub Prix: Nazirul Izzat Tawan Kangar

Pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, Nazirul Izzat Md Bahauddin melakar kejutan apabila muncul juara kelas CP150 pada aksi Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas yang berakhir di Litar Kompleks Sukan Syed Putra Kangar, Perlis hari ini.



Ia merupakan kemenangan pertama Izzat sejak beralih ke kelas perdana itu pada Pusingan 5 di Terengganu, Ogos lalu. Sebelum ini, pelumba berusia 19 tahun itu beraksi dalam kelas CP115 dan ternyata peralihan itu bukan langkah yang sia-sia.


Pada perlumbaan hari ini, Izzat yang bermula dari petak keempat tampil tenang mengharungi saingan di litar yang agak licin itu dan strateginya untuk tidak terburu-buru melancarkan asakan telah membawa kesan yang positif.



Dia menamatkan perlumbaan 12 pusingan itu dengan catatan masa 14:39.128s, meninggalkan pencabar terdekatnya Md Haziq Md Fairues (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan perbezaan masa 0.056s.

Tempat ketiga menjadi milik Md Akid Aziz (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan masa 14:39.371s.


Pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing, Md Azhar Abdul Jalil yang tampil terpantas pada sesi kelayakan semalam gagal meneruskan rentak cemerlangnya selepas sekadar menamatkan perlumbaan akhir itu di tempat ketujuh dengan masa 14:49.185s.


Rentak tunggangan Azhar hari ini juga kurang stabil gara-gara keadaan litar yang agak licin.


“Terima kasih kepada pasukan yang telah memberi kepercayaan terhadap kemampuan saya selama ini. Kemenangan ini adalah hadiah istimewa buat seluruh krew pasukan yang telah bekerja keras menyediakan jentera terbaik buat saya.


“Saya akan terus bekerja keras dalam baki tiga pusingan selepas ini agar prestasi cemerlang ini dapat dikekalkan,” jelas Izzat.


Mengulas mengenai perlumbaan tersebut, pelumba kelahiran Melaka itu mengakui sangat mencabar kerana semua pelumba bersaing hebat untuk berada dalam kelompok hadapan.


“Saya memilih untuk mengharunginya secara selamat dan enggan terburu-buru melancarkan asakan. Strategi saya berhasil walaupun sering dicabar oleh dua pelumba lain di belakang saya. Kemenangan ini amat istimewa buat saya,” ujarnya lagi.


Selepas selesai saingan Pusingan 7, kedudukan keseluruhan kelas CP150 masih diungguli Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) dengan meraih 107 mata diikuti Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) yang sudah meraih 94 mata.



Terdahulu, pada perlumbaan kelas CP115, Md Syafiq Rosli meneruskan rentak cemerlang apabila muncul juara pada perlumbaan akhir dengan catatan masa 11:47.993s. Pelumba yang menggalas cabaran pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor itu selesa berada di hadapan tanpa berdepan cabaran daripada pelumba lain.


Dia meninggalkan pencabar terdekatnya, Abdullah Qayyum A Razak (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) dengan perbezaan masa 14.533s. Tempat ketiga menjadi milik Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) dengan masa 12:04.523s.


Walaupun berada di kedudukan ketiga, tetapi Aizat masih mendahului carta keseluruhan dengan mengumpul 125 mata manakala Syafiq di tempat kedua dengan 108 mata.


Selepas ini, Pusingan 8 akan berlangsung di Tangkak, Johor pada 18-19 Oktober nanti.


Keputusan CP150 (Lima teratas)


Nazirul Izzat Md Bahauddin (MLK) ONEXOX TKKR SAG Team – 14:39.128s

Md Haziq Md Fairues (SEL) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 14:39.184s

Md Akid Aziz (KUL) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 14:39.371s

Ahmad Afif Amran (TRG) Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 14:39.871s

Md Helmi Azman (SEL) Hi Rev SCK Honda Racing – 14:45.124s


Kedudukan keseluruhan


Ahmad Afif Amran (TRG) Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 107 mata

Azroy Hakeem Anuar (SEL) Idemitsu Honda Yuzy Racing – 94

Md Akid Aziz (KUL) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 76

Md Azhar Abd Jalil (SEL) Motul Yamaha YY Pang Racing – 68

Md Haziq Md Fairues (SEL) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 68


Keputusan CP115 (Lima teratas)


Md Syafiq Rosli (PRK) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 11:47.993s

Abdullah Qayyum A Razak (SEL) Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 12:02.526s

Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (TRG) Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 12:04.523s

Md Aiman Azman (KUL) Idemitsu Honda Yuzy Racing – 12:05.000s

Md Faiz Zekri Sabri (PNG) ONEXOX SAG Team – 12:10.546s


Kedudukan keseluruhan


Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (TRG) Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 125 mata

Md Syafiq Rosli (PRK) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 108

Md Fareez Afeez Abd Rahman (JOH) Motul Yamaha YY Pang Racing – 85

Md Aiman Azman (KUL) Idemitsu Honda Yuzy Racing – 73

Md Khairil Asyraf Mahmood (JOH) Motul Yamaha YY Pang Racing - 70

Untitled design (23).png

Breaking News:

Malaysia Antara Senarai Kalendar MotoGP 2021

Breaking News : 

Breaking News:

Logo w Text Official_edited.png

News & Opinion Blog

IKUTI MEDIA KAMI: 

JADI PEMBACA YANG TERAWAL 

Terima artikel kami secara percuma dan kami akan sediakan bahan terbaru bagi bacaan anda.  

  • TikTok
  • Instagram
  • White Facebook Icon

Membawakan isu terkini kejohanan Malaysian Cub Prix, Asia Road Racing, CEV Repsol, MotoGP & FIM Supermoto secara eksklusif kepada peminat sukan permotoran dunia. Ikuti kami disemua platform media sosial. 

Penggunaan web ini tertakluk di bawah Terma & Syarat dan Polisi Kerahsiaan kami. Hakcipta Tarmac Sports 2020. Sebarang kandungan tanpa notis keizinan adalah dilarang sama sekali.

Hak Cipta © Tarmac Sports . 2020