- Admin
MCP: Aliff Danial Asri Juara Keseluruhan Kategori WIRA 2019

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing, Aliff Danial Md Asri mencatat sejarah baharu dalam kariernya apabila muncul juara keseluruhan kelas Wira pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2019 yang menutup tirainya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Pelumba asal Tangkak, Johor itu meraih 145 mata keseluruhan menerusi penampilannya dalam 10 pusingan perlumbaan musim ini.
Meskipun dia sekadar menduduki tempat keempat pada perlumbaan akhir kelas Wira hari ini, tetapi ia sudah cukup untuk mengesahkan statusnya selaku juara keseluruhan.
Ini merupakan penampilan pertamanya dalam kelas Wira, tetapi prestasi yang dipamerkannya ternyata tidak menghampakan impian pasukannya.
“Kemenangan ini amat bermakna buat saya. Sesungguhnya, saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota pasukan yang telah bekerja keras untuk menyediakan jentera terbaik buat saya.
“Kejayaan ini juga telah memberi keyakinan kepada saya untuk terus memantapkan lagi prestasi pada musim depan,” jelas Aliff
Naib juara keseluruhan pula menjadi milik Md Zaki Ahmad Zaini (MOS William #LLRKS CYT Racing) yang meraih 133 mata manakala tempat ketiga dimenangi Awal M Al Fikri Yusni (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) dengan 120 mata.
Pada perlumbaan akhir kelas Wira hari ini, Abdullah Qayyum Abd Razak (AFB TECH Racing) menang dengan catatan masa 10:07.369 saat (s) diikuti Md Idlan Haqimi Radaun di tempat kedua dengan catatan masa 10:07.554s.
Tempat ketiga berada dalam genggaman Awal M Fikri dengan catatan masa 10:07.705s.
INFO
Keputusan Perlumbaan Akhir Wira (5 teratas)
Abdullah Qayyum Abd Razak (AFB TECH Racing) – 10:07.369s
Md Idlan Haqimi Raduan (Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing) – 10:07.554s
Awal M Al Fikri Yusni (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) – 10:07.705s
Md Aliff Danial Md Asri (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) – 10:08.178s
Md Sharul Ezwan M Sharil (AFB TECH Racing) – 10:08.256s
Kedudukan keseluruhan
Md Aliff Danial Md Asri (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) – 145 mata
Md Zaki Ahmad Zamri (MOS William #LLRKS CYT Racing) – 133
Awal M Al Fikri Yusni (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) – 120
Md Haziq Rosmaza (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) – 107
Md Afizad Supaat (Super KIP Motorsports) – 78