- Admin
Pirelli Malaysia Superbike Championship Sedia Tambah Baik Penganjuran 2020

Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) Pirelli 2019 yang menutup tirainya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini menyaksikan Aiman Tahiruddin muncul juara keseluruhan bagi kelas MSBK250 A.
Pelumba pasukan CKJ Yamaha Racing itu mengumpul 190 mata, sekali gus memintas kedudukan pendahulu sebelum ini, Nazirul Izzat Bahauddin yang berada di Sepanyol untuk menghadapi perlumbaan CEV.
Ternyata, ketiadaan Nazirul telah memudahkan tugas Aiman untuk mengesahkan statusnya selaku
juara keseluruhan bagi musim 2019.
“Kejayaan ini sangat bermakna dalam karier saya. Ia akan terus melonjakkan semangat saya bagi
mencapai impian menjadi pelumba terbaik pada masa hadapan.
“Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sokongan kepada saya selama ini terutama
krew pasukan yang bertungkus lumus menyediakan jentera terbaik untuk mengharungi perlumbaan
kali ini,” jelas Aiman.
Pada saingan kali ini, Aiman yang mengharungi empat perlumbaan sejak semalam (Sabtu), berjaya
menyempurnakan misinya dengan penyudah podium.

Pada Perlumbaan 1 yang berlangsung semalam, dia menduduki tempat kedua diikuti tempat ketiga
pada Perlumbaan 2. Dengan menamatkan Perlumbaan 3 dan 4 di kedudukan ketiga, ia sudah cukup untuk
mengesahkan status selaku juara.
Pada Perlumbaan 3 yang berlangsung pada sebelah pagi tadi, pelumba Thailand, Vorapong
Malahuan yang menunggang jentera TVS, memenanginya dengan catatan masa 20:12.483 saat (s)
manakala Md Idlan Haqimi Raduan (Boon Siew Honda Racing Team) di tempat kedua dengan perbezaan 0.03 saat
Tempat ketiga menjadi milik Aiman yang melepasi garisan penamat dengan masa 20:12.780s.
Aksi kelas MSBK250 itu diakhiri dengan Perlumbaan 4 yang dimenangi seorang lagi pelumba CKJ
Yamaha Racing, Abdullah Qayyum Abd Razak dengan masa 23:07.408s.
Vorapong pula di tempat kedua (23:07.415s) manakala Aiman di kedudukan ketiga dengan masa
23:07.724s.
Sementara itu, bagi kelas MSBK250 B, gelaran juara keseluruhan menjadi milik pelumba Horizon
Racing Team, Mohd. Arif Fadhillah Ismadi dengan meraih 191 mata.
Pelumba pasukan Horizon Racing Team, Farid Badrul berada dalam kelas
tersendiri apabila menguasai empat perlumbaan akhir kelas Superbike (SBK) MSBK1000 A pada
Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2019 yang menutup tirainya di Litar Antarabangsa Sepang
(SIC) hari ini.
Farid yang sudah mengesahkan statusnya selaku juara keseluruhan SBK A musim 2019 semalam,
sekali lagi memperlihatkan ketangkasannya dalam Perlumbaan 3 dan 4 hari ini apabila memenangi
kedua-duanya.
Pada Perlumbaan 3, pelumba Horizon Racing Team itu menamatkannya dengan catatan masa
25:59.982 saat (s) manakala pada Perlumbaan 4 dia memenanginya dengan masa 22:14.366s.
Menariknya, perlumbaan terakhir itu dia perlu mengerahkan sedikit tenaga kerana tidak mahu
membenarkan Liam Taylor MacDonald (Team Hiap Aik Suzuki Racing) untuk memintasnya.
“Perlumbaan 4 agak mencabar kerana Liam telah mencuba untuk memberi tekanan. Tetapi saya
tidak membenarkannya dan mengerah kemampuan jentera ke tahap maksimum.
“Saya juga berasa puas hati kerana prestasi jentera berada pada tahap terbaik minggu ini,” jelas
Farid yang pernah muncul juara keseluruhan dalam kelas MSBK600cc dan juga MSBK1000cc pada
edisi sebelum ini.
Begitupun, Farid mengakui kepantasannya belum mencapai tahap maksimum berbanding ketika
bersaing dengan Zulfahmi Khairuddin.
“Jika bersaing dengan Zulfahmi, rentak perlumbaan lebih pantas dan mencabar,” akuinya.
Ditanya mengenai tahap keyakinannya untuk bergelar juara keseluruhan musim ini, Farid
menjelaskan bahawa ia memang sudah dijangka kerana pencabarnya, Zulfahmi tidak beraksi pada
pusingan akhir ini.
Walaupun Zulfahmi tidak beraksi pada saingan penutup tirai ini, dia masih berjaya meraih gelaran
naib juara keseluruhan dengan 135 mata.
Bagi kelas SBK B pula, gelaran juara keseluruhan dimiliki Nik Hadi Nik Mahmood (Horizon Racing
Team) dengan 203 mata manakala Shahrulnizam Ramli (FTA Liqui Moly Racing Team) muncul juara
kelas Superstock A selepas meraih 233 mata.
Gelaran juara keseluruhan untuk kelas Superstock B pula dimenangi Daniel Haiqal yang memungut
195 mata.
Sementara itu, Azroy Hakeem Anuar (Boon Siew Honda Racing Team) mengesahkan statusnya selaku
juara keseluruhan kelas MSBK600 A musim ini dengan mengumpul 211 mata.
Hari ini, Azroy menutup saingan dengan muncul juara pada Perlumbaan 3 dengan masa 25:07.379s
manakala pada Perlumbaan 4 dia sekadar menduduki tempat kedua dengan masa 22:30.789s.
Perlumbaan 4 itu dimenangi pelumba pasukan Hi-Rev SCK Honda Racing, Md Helmi Azman dengan
masa 22:28.996s.
Kecemerlangan yang dipamerkan oleh Helmi itu membolehkannya muncul naib juara keseluruhan
dengan mengumpul 171 mata.
M. Ganesan (AFB Tech Racing) pula membawa pulang gelaran juara keseluruhan bagi kelas MSBK600
B dengan meraih 190 mata.