• Admin

Rentak Konsisten Aizat Jadi Taruhan Kuasai Saingan Kelas CP115


Terengganu nampaknya bukan sekadar bermegah melahirkan pelumba berbasikal bertaraf dunia, tetapi juga sudah mula mengorak langkah untuk melakar nama dalam sukan permotoran.


Walaupun masih belum ada pelumba kelahiran Terengganu menjejak kaki ke pentas antarabangsa

setakat ini, tetapi dalam saingan sukan permotoran tempatan, beberapa pelumba asal negeri Pantai

Timur itu sudah mula memperlihatkan ‘kejantanan’ masing-masing.


Ia terbukti dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas yang menyaksikan beberapa pelumba

kelahiran Terengganu terus melangkah bergaya untuk menjulang nama sebagai juara.


Nama-nama seperti Ahmad Afif Amran, Md Hafiza Rofa mahupun Md Harith Farhan Baharin adalah

antara pelumba asal Terengganu yang mula mencipta nama dalam kelas CP150 pada kejuaraan

terunggul negara itu.


Dalam kelas CP115 pula, pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Syukran

Aizat Md Yusoff semakin meniti puncak kecemerlangan dalam kariernya.


Aizat antara pelumba paling konsisten dalam kelas CP115 kerana selepas mengharungi empat

pusingan dia tidak pernah gagal untuk menjejak kaki di podium kemenangan.


Dia sudah meraih empat gelaran naib juara dalam kelas tersebut, sekali gus membolehkannya untuk

mendahului kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 80 mata.


Minggu ini, dia sudah pasti mahu mengubah kedudukan selaku naib juara yang sering diperolehnya

kerana bakal mendapat suntikan semangat daripada para penyokong di negeri kelahirannya apabila

turun beraksi pada Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas yang akan berlangsung di Litar

Permotoran Kompleks Sukan Negeri Kuala Nerus, Terengganu pada 23 hingga 24 Ogos.


Walaupun ia merupakan litar baharu buat semua pelumba, tetapi aksi di tempat sendiri bakal

dipergunakan sebaik mungkin oleh Aizat untuk mengubah reputasi selaku ‘pakar naib juara’ kepada

status juara.


Ia bukan perkara mustahil untuk direalisasikan kerana prestasinya setakat ini boleh dianggap paling

konsisten.


Empat kali muncul naib juara adalah sesuatu yang boleh dibanggakan, dan ia membuktikan dia juga

memiliki jentera yang sangat stabil.


Beberapa pelumba kelas CP115 yang muncul juara di setiap pusingan sebelum ini seperti Md Syafiq

Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) mahupun Md Adib Rosley dan Md Fareez Afeez Abd


Rahman (Motul Yamaha YY Pang Racing), tidak berupaya mempertahankan rentak konsisten, malah

turut gagal menamatkan perlumbaan.


Syafik pernah muncul juara sebanyak dua kali iaitu pada pusingan 2 dan 4 namun dia gagal

menamatkan perlumbaan pada saingan pembukaan dan juga di Pusingan 3.


Begitu juga dengan nasib Fareez yang muncul juara Pusingan 1, namun prestasinya merundum pada

pusingan berikutnya termasuk gagal menamatkan perlumbaan di Pusingan 3.


Adib pula bergelar juara pada Pusingan 3, namun kurang menyerlah di pusingan lainnya.

Menyedari rentak yang kurang konsisten itu, Adib kini tidak meletakan sebarang sasaran pada

saingan di Terengganu nanti kerana masih belum mengetahu keadaan litar di sana.


“Saya hanya mahu mengumpul mata sebanyak mungkin dan cuba untuk mencari penyesuaian

secepat mungkin dengan keadaan litar. Selain itu, saya harap pelarasan jentera berada dalam

keadaan terbaik,” jelas Adib yang tidak menolak kemungkinan bakal berdepan cabaran sengit

daripada Aizat.


Setakat ini, rentak konsisten yang dipamerkan oleh Aizat membuktikan pelarasan jentera Yamaha

yang ditunggangnya tetap stabil tanpa berdepan dengan masalah mekanikal. Keadaan itu yang diharapkannya apabila mengharungi saingan di Kuala Terengganu minggu ini bagi merealisasikan misinya untuk bergelar juara di negeri kelahiran sendiri.


Selepas mengharungi empat pusingan setakat ini, Aizat terus unggul memimpin kedudukan

keseluruhan dengan 80 mata diikuti Md Khairi Asyraf Mahmood (Motul Yamaha YY Pang Racing)

yang sudah mengumpul 51 mata.


Pelumba asal Perak, Md Syafik Rosli pula menghuni tempat ketiga keseluruhan dengan 50 mata.

Bagi kategori berpasukan pula, pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing selesa mendahului

kedudukan dengan 104 mata.


INFO

Kedudukan Keseluruhan CP115 (5 Teratas)


Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 80 mata

Md Khairi Asyraf Mahmood (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 51

Md Syafiq Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) – 50

Md Fareez Afeez Abd Rahman (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 49

Md Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 41


Kedudukan Pasukan


Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 104 mata

Motul Yamaha YY Pang Racing – 90

Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 64

Idemitsu Honda Yuzy Racing – 56

ONEXOX TKKR SAG Team – 41

5 lihatan
Untitled design (23).png

Breaking News:

Malaysia Antara Senarai Kalendar MotoGP 2021

Breaking News : 

Breaking News:

Logo w Text Official_edited.png

News & Opinion Blog

IKUTI MEDIA KAMI: 

JADI PEMBACA YANG TERAWAL 

Terima artikel kami secara percuma dan kami akan sediakan bahan terbaru bagi bacaan anda.  

  • TikTok
  • Instagram
  • White Facebook Icon

Membawakan isu terkini kejohanan Malaysian Cub Prix, Asia Road Racing, CEV Repsol, MotoGP & FIM Supermoto secara eksklusif kepada peminat sukan permotoran dunia. Ikuti kami disemua platform media sosial. 

Penggunaan web ini tertakluk di bawah Terma & Syarat dan Polisi Kerahsiaan kami. Hakcipta Tarmac Sports 2020. Sebarang kandungan tanpa notis keizinan adalah dilarang sama sekali.

Hak Cipta © Tarmac Sports . 2020